MEMORANDUM GABUNGAN PERTUBUHAN-PERTUBUHAN ISLAM DI DALAM
PROSES UPR (MuslimUPRo)
22 Oktober 2013M
bersamaan 17 Dzulhijjah 1434H
Gabungan
Pertubuhan-pertubuhan Islam di dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (UPR)
Majlis Hak Asasi Manusia atau ringkasnya MuslimUPRo telah digagaskan sebagai
salah satu usaha untuk memantau NGO-NGO Hak Asasi Manusia (HAM) dan
pertubuhan-pertubuhan sekular-liberal yang menggunakan saluran Gabungan NGO
Malaysia di dalam Proses UPR (COMANGO), untuk menuntut perkara-perkara
yang mencabar kedudukan Islam sebagai agama Negara melalui Proses Semakan
Berpenggal Sejagat (UPR) Majlis Hak Asasi Manusia HRC (UN) di Geneva,
Switzerland yang akan melibatkan Malaysia pada 24 Oktober 2013.
MuslimUPRo dan gabungan Pertubuhan-pertubuhan Islam yang
disenaraikan di sini mengambil pendirian berikut:
Menginsafi
kepentingan Perkara 3(1) di dalam Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan
Islam pada kedudukan istimewa sebagai agama Persekutuan;
Menyedari bahawa cabaran-cabaran dunia pada hari ini
ditandai gerakan hak asasi manusia (HAM) yang berlatarbelakangkan
fahaman-fahaman yang bertentangan dengan fitrah agama seperti sekularisme,
liberalism dan pluralism dan semakin menyesatkan ramai di kalangan umat Islam;
Memperakui hakikat Malaysia sebagai sebuah Negara yang
berdaulat serta disegani sebagai sebuah Negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa
Bersatu (UN), Negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), anggota Pergerakan
Negara-negara Berkecuali (NAM) serta Negara anggota Pertubuhan Negara-Negara
Asia Tenggara (ASEAN);
Menegaskan bahawa sebagai sebuah yang beragama Malaysia
perlu bertegas di dalam mempertahankan kedudukan Islam serta tidak tunduk
kepada tuntutan-tuntutan HAM yang ternyata bertentangan dengan prinsip-prinsip
di dalam ajaran Islam.
Dengan latar belakang tersebut, kami berpandangan bahawa:
A. Gabungan NGO
Malaysia di dalam Proses UPR atau ringkasnya COMANGO telah melakarkan
tuntutan-tuntutan mereka tanpa menghormati kedudukan Islam sebagai Agama Negara
dan sengaja menimbulkan kekeliruan seolah-olah Malaysia adalah sebuah Negara
Sekular yang meletakkan semua agama sama rata.
B. Perbuatan COMANGO
ini bertujuan untuk meletakkan apa saja dasar dan undang-undang yang digubal
sama ada oleh Kerajaan atau Majlis-majlis Agama di bawa seliaan dan pemerhatian
HRC UN.
C. Kerajaan perlu menjelaskan kepada HRC bahawa, sekalipun
rakyat Negara ini terdiri daripada penganut berbagai agama dengan penganut
agama Islam membentuk 60 peratus daripada keseluruhan rakyat Malaysia, namun
Negara Malaysia berkewajipan untuk memelihara Agama Islam pada semua masa.
D. Kealpaan perwakilan Negara untuk memberikan perhatian
utama kepada kewajipan memelihara Agama Islam dalam perundingan antarabangsa
boleh mengakibatkan Malaysia dihalang (estopped) pada masa akan datang daripada
bersandarkan kepada hujah kedaulatan Islam dalam berhadapan dengan berbagai
tekanan antarabangsa dalam isu-isu hak kebebasan yang bercanggah dengan
prinsip-prinsip Islam.
E. Tuntutan-tuntutan COMANGO yang berikut adalah terlalu
jelas mendedahkan agenda mengganggu-gugat kedudukan Islam di Malaysia.
Berpandukan prinsip Maqasid al-Syariah yang utama iaitu Memelihara Agama, yang
juga terkandung dalam Sumpah Yang DiPertuan Agong (Jadual Keempat Perkara 37
Perlembagaan Persekutuan), Kerajaan perlu lebih serius menolak
tuntutan-tuntutan sebegini –
i. Tuntutan yang bersifat provokasi keagamaan dan sentimen
perkauman dengan mengaitkan larangan Kerajaan terhadap penggunaan nama Allah
oleh majalah The Catholic Weekly dengan kejadian letupan molotov cocktail di
beberapa buah gereja selepas keputusan kes Kalimah Allah sebagai perbuatan
“ultra Malays pressure groups”;
ii. Mempertikaikan keputusan mengharamkan penyebaran fahaman
Syiah dan lain-lain ajaran menyeleweng sebagai kekangan kepada hak kebebasan
beragama dan dominasi oleh pihak berkuasa agama dari kalangan Ahlus Sunnah
Waljama’ah yang mengekang hak kebebasan berfikir;
iii. Menuntut hak kebebasan untuk murtad sebagai hak
kebebasan beragama dengan menafikan bidangkuasa mahkamah Syariah untuk
menentukan kedudukan Islam seseorang;
iv. Tuntutan untuk menghapuskan undang-undang jenayah
Syariah yang sedang berkuatkuasa di Negeri-negeri;
v. Memberikan persepsi buruk kepada kewajipan amar ma’ruf
dan nahi mungkar yang dilaksanakan oleh Jabatan-jabatan Agama di seluruh Negara
dengan penggunaan label stereotaip media barat iaitu moral policing;
vi. Memberikan gambaran negatif terhadap usaha-usaha
kerajaan menyampaikan dakwah kepada masyarakat orang asli dan dimanipulasikan
sebagai paksaan pemelukan agama Islam;
vii. Tuntutan untuk mengiktiraf hak sosial dan hak
undang-undang kelompok manusia pengamal seks songsang LGBT ;
viii. Membenarkan amalan seks songsang dengan menghapuskan
peruntukan undang-undang yang menyifatkan amalan seks di luar tabiĆ itu sebagai
perbuatan jenayah;
ix. Mempertikaikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur
yang memutuskan larangan dan siasatan pihak Polis ke atas penganjuran perarakan
Seksualiti Merdeka adalah tindakan yang tidak boleh disemak oleh Mahkamah.
x. Menuntut supaya Prinsip-prinsip Yogyakarta 2006 yang
mengiktiraf hak mengamalkan seks songsang LGBT diterima oleh Malaysia;
xi. Menuntut diberhentikan serta merta sebarang tindakan
terhadap kanak-kanak atau orang dewasa atas asas indentiti gender dan orientasi
seks dan mereka dibayar ganti rugi;
xii. Tuntutan untuk membenarkan buku tulisan Irshad Manji
yang jelas mengandungi perkara-perkara yang menyanggahi hukum syarak- termasuk
menyeru supaya pemikiran Islam (Islamism) diperangi, mendakwa nama Allah
diambil oleh Rasulullah dari nama sebuah berhala; menghidupkan semula teori
jahat Salman Rushdie satanic verses; mendakwa amalan solat boleh dilakukan
mengikut pemikiran sendiri; mendakwa amalan seks songsang kaum Lut hanya
diharamkan jika dilakukan secara paksa;
Justeru, MuslimUPRo mendesak Kerajaan supaya:
i. Bertegas dalam mempertahankan kedaulatan Agama Islam
sebagai Agama Negara dan menolak tuntutan-tuntutan COMANGO kepada HRC melalui
proses UPR tersebut. Penegasan ini dilakukan berasaskan prinsip-prinsip
kedaulatan Malaysia sebagai Negara Islam;
ii. Menghalang pihak COMANGO dan badan-badan seumpamanya
dari terus-menerus mencabar institusi Raja-raja Melayu, institusi fatwa dan
Majlis-majlis Agama Islam Negeri-negeri serta institusi-institusi yang
ditubuhkan di bawah peruntukan-peruntukan melindungi Islam sebagai agama
Negara;
iii. Mengambil tindakan sewajarnya menurut kerangka
Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang Negara terhadap pihak COMANGO dan
badan-badan seumpamanya apabila jelas terdapat usaha membuka ruang untuk
melakukan kesalahan-kesalahan jenayah apabila tuntutan-tuntutan tersebut
berlawanan dengan Enakmen-enakmen Negeri-negeri yang memperuntukkan
undang-undang melindungi Islam;
iv. Menolak tuntutan COMANGO dan Badan-badan HAM dengan
berasaskan kewajipan memelihara kedaulatan Islam sebagai Agama Negara;
v. Merundingi Majlis-Majlis Agama Islam dan Badan-badan
Islam Bukan Kerajaan dalam mempertimbangkan pelbagai tuntutan yang menyentuh
Kedaulatan Islam sebagai Agama Negara.
vi. Bertegas menghalang COMANGO dari berurusan dengan
mana-mana pihak sama ada dalam atau luar Negara kerana hanya segelintir (12
persatuan) yang sah sebagai NGO dan berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan,
manakala yang lainnya tidak berdaftar dan melakukan kesalahan di bawah seksyen
6 Akta Pertubuhan;
vii. Mana-mana pihak yang berurusan dengan pertubuhan-pertubuhan
tidak berdaftar ini turut melakukan kesalahan. Suara dan tuntutan mereka ini
tidak mewakili majoriti rakyat Malaysia, bahkan sebahagian dari peneraju
pertubuhan tidak berdaftar ini telah beroperasi secara tidak sah selama tempoh
mencecah puluhan tahun. Bahkan sebahagian dari mereka ini juga sengaja
mewujudkan entiti perniagaan di bawah Pendaftar Syarikat dengan tujuan mendapat
penyaluran dana asing untuk membiayai tuntutan jahat mereka untuk mengkhianati
Agama Negara.
viii. Menyiasat sumber kewangan yang membiaya COMANGO untuk
melakukan berbagai pengkhianatan terhadap kedaulatan Agama Islam sebagai Agama
Negara;
Azril Mohd Amin – Ketua Delegasi MuslimUPRo ke Geneva,
Switzerland
MuslimUPRo adalah dianggotai oleh Pertubuhan-pertubuhan
Islam dan Umat Islam utama termasuk Gabungan Pertubuhan-pertubuhan Pembela
Islam (PEMBELA), Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Pertubuhan Muafakat
Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT), Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA),
JATI, Majlis Amal Islami Malaysia, IKATAN, PERKIM, Persatuan Cina Muslim
Malaysia (MACMA), PEMBINA, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), PERMIM, JATI,
PERKID, PERKASA, PROMUSLIM, JAM”IYYAH, Lembaga Kebajikan Perempuan Islam
Malaysia (LKPIM), Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK), ISSI Malaysia, GABUNGAN Pulau
Pinang, PINTA, Majlis Ittihad Ummah, Persatuan Ummah Cemerlang Malaysia,
Khalifah Institute, Persatuan Nur Alamiyyah, Pertubuhan Anak Watan Malaysia
(WATAN).
Link: http://azrilmohdamin.com/2013/10/22/memorandum-muslimupro-22-oktober-2013/