Intitusi dan pertubuhan di switchzerlands:
Islamic Research and Training Institute (IRTI)
Institut Penyelidikan dan Latihan Islam atau Islamic
Research and Training Institute (IRTI) ditubuhkan pada tahun 1981 dengan tujuan
untuk membuat penyelidikan, menyediakan latihan dan maklumat perkhidmatan
kepada negara ahli Bank Pembangunan Islam atau dalam bahasa inggerisnya Islamic
Development Bank (IDB) dan masyarakat Islam yang bukan ahli bagi membolehkan aktiviti
ekonomi, kewangan dan perbankan di negara Islam mengikut kehendak syariah.
Selain itu membantu mereka membangunkan aktiviti ekonomi, kewangan dan
perbankan serta mengembangkan ekonomi dan kerjasama antara mereka. Institut ini
juga bertujuan mengadakan kemudahan latihan untuk tenaga kerja yang terlibat
dalam aktiviti pembangunan ekonomi di negara-negara ahli.
Accounting and Auditing Organizations for Islamic
Financial Institutions (AAOIFI).
Pertubuhan Perakaunan dan Pengauditan Institusi Kewangan
Islam atau AAOIFI ialah sebuah badan bebas yang tidak bermotifkan keuntungan
dan ditubuhkan pada 27 Mac 1991 di Bahrain. Pertubuhan ini awalnya dikenali
sebagai Financial Accounting Organization for Islamic Bank and Financial
Institutions (FAOIBFI) bertujuan menjadi badan yang menyediakan piawaian
perakaunan, pengauditan, kawalseliaan, etika dan perkara berkaitan syariah
untuk institusi kewangan Islam. Struktur organisasi terbahagi kepada enam iaitu
Perhimpunan Agung (General Assembly), Lembaga Pemegang Amanah (Board of
Trustee), Lembaga Piawaian Perakaunan dan Pengauditan (Board of Accounting and
Auditing Standards), Lembaga Syariah (Sharia Board), Jawatankuasa Eksekutif
(Executive Committee) dan Sekreteriat Agung (General Secretariat). Semenjak
penubuhannya, AAOIFI telah berjaya menerbitkan 3 penerbitan utama iaitu
Piawaian Perakaunan, Pengauditan dan Kawalseliaan untuk Institusi Kewangan
Islam, Piawaian Syariah dan Penyata untuk Tujuan dan Pengiraan Nisbah Kecukupan
Modal Bank Islam. Secara amnya negara yang terlibat dengan AAOIFI adalah
seperti Bahrain, Sudan, Qatar, Mesir, Jordan, Turki, Bahamas, Malaysia,
Indonesia, Brunei, Pulau Cayman, Sri Langka, Tunisia, Arab Saudi, Rusia dan
Emiriyah Arab Bersatu. Ahli pengasas pula terdiri daripada Bank Pembangunan Islam
di Arab Saudi, Dar al-Mal al-Islami di Switzerland, al-Rajhi Banking and
Investment Corporation di Arab Saudi, Kumpulan Dallah Albaraka di Arab Saudi
dan Kuwait Finance House di Kuwait.
General Council for Islamic Banks and Financial
Institutions (GCIBFI).
Majlis Agung Bank-bank dan Institusi Kewangan Islam atau
(GCIBFI) berpusat di Manama Bahrain dan ditubuhkan pada bulan Mei 2001.
Kebanyakkan anggotanya datang dari negara Emiriyah Arab Bersatu, Kuwait dan
Malaysia. Majlis ini dianggotai oleh bank-bank dan institusi kewangan Islam
dari seluruh dunia dan terdiri daripada bank perdagangan Islam, bank saudagar,
institusi kewangan yang melaksanakan konsep jendela, dana Islam dan Syarikat
takaful. GCIBFI ialah sebuah badan pemberi khidmat bagi menambahkan lagi keupayaan
ahli-ahlinya di seluruh dunia untuk memberikan perkhidmatan kepada pelanggannya
melalui amalan perbankan yang telus. Struktur organisasi Majlis ini terdiri
daripada Perhimpunan Agung (General Assembly), Lembaga Pengarah (Board of
Directors), Jawatankuasa Eksekutif (Executive Committee) dan Sekretariat Agung
(General Secretariat). Sebagai penyedia dan pembekal maklumat, GCIBFI
menerbitkan banyak penerbitan hasil penyelidikan dan sebagai pusat yang membuat
kajian perbandingan berkaitan dengan perundangan dan bidang-bidang lain.
International Islamic Financial Market (IIFM).
Pasaran Antarabangsa Kewangan Islam atau IIFM ialah sebuah
pertubuhan yang tidak bermotifkan keuntungan dan penubuhannya adalah hasil
usaha yang dimulakan oleh Bank Negara Malaysia dan LOFSA yang berpandangan
perlunya ada sebuah pasaran untuk memobilisasikan sekuriti kewangan Islam. Lima
perintis yang bersama-sama dengan Malaysia dalam menjayakan penubuhan ini ialah
Bank Pembangunan Islam (IDB), Pihak Berkuasa Kewangan Bahrain, Bank Indonesia
(Bank Pusat Indonesia), Bank Pusat Sudan dan Kementerian Kewangan Brunei. Visi
badan ini adalah untuk menjadi sebuah institusi terkemuka yang akan
menggalakkan urus niaga produk dan instrumen kewangan Islam di persada
antarabangsa. Misinya pula adalah untuk menjadi badan yang akan membantu dan
mempermudahkan urus niaga di pasaran kedua produk dan instrumen kewangan dengan
mengadakan pengesahan bebas Syariah dan mengeluarkan panduan-panduan untuk
menerbitkan instrumen kewangan yang baru. Pada masa kini aktiviti utama yang
dijalankan oleh IIFM meliputi tiga perkara utama iaitu memberikan pengesahan
Syariah, mengadakan piawaian dan pengharmonian dan penyenaraian pasaran dan
urus niaga. Struktur organisasinya pula terdiri daripada Lembaga Pengarah, Jawatankuasa
Pengawasan Syariah, Jawatankuasa Pembangunan Pasaran dan Produk dan Eksekutif
Pengurusan.
Islamic Financial Services Board (IFSB).
Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam atau IFSB ditubuhkan
pada 3 November 2002 khusus mengendalikan perkara yang berkaitan dengan
penyeliaan dan pengawalan. Lembaga ini ditubuhkan di Malaysia di bawah Akta
Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam 2002, dan mendapat keistimewaan sebagai
organisasi berstatus diplomat. Matlamat penubuhan IFSB ialah sebagai badan yang
menyatukan pihak berkuasa kewangan negara-negara terutamanya negara yang
mempunyai sistem perbankan Islam agar sistem yang dilaksanakan menjadi lebih
kukuh dan stabil. Tugas utama Lembaga ini adalah mengeluarkan piawaian-piawaian
dan peraturan yang ada hubungan dengan sistem kawalan bank-bank Islam. Dari
segi keanggotaannya pula, terbahagi kepada tiga bahagian iaitu ahli penuh yang
terdiri daripada pihak berkuasa kewangan sesebuah negara atau bank-bank pusat,
ahli bersekutu pula terdiri daripada pertubuhan yang ada kaitan dengan kewangan
dan akhir sekali ahli pemerhati yang terdiri daripada institusi-institusi
kewangan Islam di seluruh dunia.