Rabu, 16 April 2014

Intitusi dan pertubuhan di switchzerlands:

Islamic Research and Training Institute (IRTI)

Institut Penyelidikan dan Latihan Islam atau Islamic Research and Training Institute (IRTI) ditubuhkan pada tahun 1981 dengan tujuan untuk membuat penyelidikan, menyediakan latihan dan maklumat perkhidmatan kepada negara ahli Bank Pembangunan Islam atau dalam bahasa inggerisnya Islamic Development Bank (IDB) dan masyarakat Islam yang bukan ahli bagi membolehkan aktiviti ekonomi, kewangan dan perbankan di negara Islam mengikut kehendak syariah. Selain itu membantu mereka membangunkan aktiviti ekonomi, kewangan dan perbankan serta mengembangkan ekonomi dan kerjasama antara mereka. Institut ini juga bertujuan mengadakan kemudahan latihan untuk tenaga kerja yang terlibat dalam aktiviti pembangunan ekonomi di negara-negara ahli.

Accounting and Auditing Organizations for Islamic Financial Institutions (AAOIFI).

Pertubuhan Perakaunan dan Pengauditan Institusi Kewangan Islam atau AAOIFI ialah sebuah badan bebas yang tidak bermotifkan keuntungan dan ditubuhkan pada 27 Mac 1991 di Bahrain. Pertubuhan ini awalnya dikenali sebagai Financial Accounting Organization for Islamic Bank and Financial Institutions (FAOIBFI) bertujuan menjadi badan yang menyediakan piawaian perakaunan, pengauditan, kawalseliaan, etika dan perkara berkaitan syariah untuk institusi kewangan Islam. Struktur organisasi terbahagi kepada enam iaitu Perhimpunan Agung (General Assembly), Lembaga Pemegang Amanah (Board of Trustee), Lembaga Piawaian Perakaunan dan Pengauditan (Board of Accounting and Auditing Standards), Lembaga Syariah (Sharia Board), Jawatankuasa Eksekutif (Executive Committee) dan Sekreteriat Agung (General Secretariat). Semenjak penubuhannya, AAOIFI telah berjaya menerbitkan 3 penerbitan utama iaitu Piawaian Perakaunan, Pengauditan dan Kawalseliaan untuk Institusi Kewangan Islam, Piawaian Syariah dan Penyata untuk Tujuan dan Pengiraan Nisbah Kecukupan Modal Bank Islam. Secara amnya negara yang terlibat dengan AAOIFI adalah seperti Bahrain, Sudan, Qatar, Mesir, Jordan, Turki, Bahamas, Malaysia, Indonesia, Brunei, Pulau Cayman, Sri Langka, Tunisia, Arab Saudi, Rusia dan Emiriyah Arab Bersatu. Ahli pengasas pula terdiri daripada Bank Pembangunan Islam di Arab Saudi, Dar al-Mal al-Islami di Switzerland, al-Rajhi Banking and Investment Corporation di Arab Saudi, Kumpulan Dallah Albaraka di Arab Saudi dan Kuwait Finance House di Kuwait.

General Council for Islamic Banks and Financial Institutions (GCIBFI).

Majlis Agung Bank-bank dan Institusi Kewangan Islam atau (GCIBFI) berpusat di Manama Bahrain dan ditubuhkan pada bulan Mei 2001. Kebanyakkan anggotanya datang dari negara Emiriyah Arab Bersatu, Kuwait dan Malaysia. Majlis ini dianggotai oleh bank-bank dan institusi kewangan Islam dari seluruh dunia dan terdiri daripada bank perdagangan Islam, bank saudagar, institusi kewangan yang melaksanakan konsep jendela, dana Islam dan Syarikat takaful. GCIBFI ialah sebuah badan pemberi khidmat bagi menambahkan lagi keupayaan ahli-ahlinya di seluruh dunia untuk memberikan perkhidmatan kepada pelanggannya melalui amalan perbankan yang telus. Struktur organisasi Majlis ini terdiri daripada Perhimpunan Agung (General Assembly), Lembaga Pengarah (Board of Directors), Jawatankuasa Eksekutif (Executive Committee) dan Sekretariat Agung (General Secretariat). Sebagai penyedia dan pembekal maklumat, GCIBFI menerbitkan banyak penerbitan hasil penyelidikan dan sebagai pusat yang membuat kajian perbandingan berkaitan dengan perundangan dan bidang-bidang lain.

International Islamic Financial Market (IIFM).

Pasaran Antarabangsa Kewangan Islam atau IIFM ialah sebuah pertubuhan yang tidak bermotifkan keuntungan dan penubuhannya adalah hasil usaha yang dimulakan oleh Bank Negara Malaysia dan LOFSA yang berpandangan perlunya ada sebuah pasaran untuk memobilisasikan sekuriti kewangan Islam. Lima perintis yang bersama-sama dengan Malaysia dalam menjayakan penubuhan ini ialah Bank Pembangunan Islam (IDB), Pihak Berkuasa Kewangan Bahrain, Bank Indonesia (Bank Pusat Indonesia), Bank Pusat Sudan dan Kementerian Kewangan Brunei. Visi badan ini adalah untuk menjadi sebuah institusi terkemuka yang akan menggalakkan urus niaga produk dan instrumen kewangan Islam di persada antarabangsa. Misinya pula adalah untuk menjadi badan yang akan membantu dan mempermudahkan urus niaga di pasaran kedua produk dan instrumen kewangan dengan mengadakan pengesahan bebas Syariah dan mengeluarkan panduan-panduan untuk menerbitkan instrumen kewangan yang baru. Pada masa kini aktiviti utama yang dijalankan oleh IIFM meliputi tiga perkara utama iaitu memberikan pengesahan Syariah, mengadakan piawaian dan pengharmonian dan penyenaraian pasaran dan urus niaga. Struktur organisasinya pula terdiri daripada Lembaga Pengarah, Jawatankuasa Pengawasan Syariah, Jawatankuasa Pembangunan Pasaran dan Produk dan Eksekutif Pengurusan.

Islamic Financial Services Board (IFSB).

Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam atau IFSB ditubuhkan pada 3 November 2002 khusus mengendalikan perkara yang berkaitan dengan penyeliaan dan pengawalan. Lembaga ini ditubuhkan di Malaysia di bawah Akta Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam 2002, dan mendapat keistimewaan sebagai organisasi berstatus diplomat. Matlamat penubuhan IFSB ialah sebagai badan yang menyatukan pihak berkuasa kewangan negara-negara terutamanya negara yang mempunyai sistem perbankan Islam agar sistem yang dilaksanakan menjadi lebih kukuh dan stabil. Tugas utama Lembaga ini adalah mengeluarkan piawaian-piawaian dan peraturan yang ada hubungan dengan sistem kawalan bank-bank Islam. Dari segi keanggotaannya pula, terbahagi kepada tiga bahagian iaitu ahli penuh yang terdiri daripada pihak berkuasa kewangan sesebuah negara atau bank-bank pusat, ahli bersekutu pula terdiri daripada pertubuhan yang ada kaitan dengan kewangan dan akhir sekali ahli pemerhati yang terdiri daripada institusi-institusi kewangan Islam di seluruh dunia.


 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan